Welcome To .......

Welcome To .......

Wednesday, March 9, 2011

ciri2 wanita perhiasan hidup insan yang digelar lelaki

KITA biasa dengan ungkapan yang berbunyi, "syurga di bawah tapak kaki ibu". Tetapi benarkah syurga isteri pula di bawah tapak kaki suami? Adakah ungkapan ini disokong oleh mana-mana hadis?

Mentaati ibu bapa balasannya syurga. Dalam hadis-hadis, Rasulullah SAW menjanjikan syurga bagi mereka yang taat kepada kedua ibunya.


Adapun janji syurga di bawah telapak kaki suami belum saya temui, namun cukuplah menjadi seorang isteri itu ahli syurga dengan mentaati suaminya, yang demikian cukup banyak ayat al-Quran dan hadis baginda.


Sifat-sifat isteri yang dijanjikan syurga.


Allah SWT berfirman yang bermaksud: Wanita (isteri) solehah adalah yang taat lagi memelihara diri ketika suaminya tidak ada dikeranakan Allah telah memelihara mereka. (al-Nisa': 34)


Dalam ayat ini Allah menghimpun beberapa sifat yang wajib ada pada seorang wanita solehah, antaranya adalah taat kepada Allah swt dan kepada suaminya dalam perkara yang makruf (perkara baik) lagi memelihara dirinya ketika suaminya tidak berada di sampingnya.




Al-Sheikh Abdul Rahman bin Nashir As-Sa'di r.h. berkata: "Tugas seorang isteri adalah menunaikan ketaatan kepada Allah dan taat kepada suaminya, kerana itulah Allah berfirman: Wanita solehah adalah yang taat, iaitu taat kepada Allah SWT, lagi memelihara diri ketika suaminya tidak ada di rumah atau di sampingnya". Iaitu taat kepada suami mereka bahkan ketika suaminya tidak ada, dia menjaga suaminya dengan menjaga dirinya dan harta suaminya. (Taisir, hal. 177)


Ketika Rasulullah menghadapi permasalahan dengan isteri-isterinya sampai beliau bersumpah tidak akan mencampuri mereka selama sebulan, Allah SWT menyatakan kepada baginda SAW dengan firman yang bermaksud: Jika sampai Nabi menceraikan kalian, mudah-mudahan Tuhannya akan memberi ganti kepadanya dengan isteri-isteri yang lebih baik daripada kalian, muslimat, mukminat, qanitat (taat kepada Allah), taibat (sentiasa bertaubat), 'abidat (sering beribadat), saihat (kerap berpuasa) dari kalangan janda ataupun gadis. (at-Tahrim: 5) [Al-Jami' li Ahkamil Quran, 18/126-127, Tafsir Ibnu Katsir, 8/132]


Nabi SAW ada bersabda yang bermaksud: "Apabila seorang wanita menjaga solat lima waktu, berpuasa sebulan (Ramadan), menjaga kemaluannya dan taat kepada suaminya, maka ketika berada di akhirat dikatakan kepadanya: Masuklah engkau ke dalam syurga dari pintu mana saja yang engkau sukai". (riwayat Ahmad 1/191, Shahihul Jami' no. 660, 661)


Berdasarkan dalil-dalil tersebut, dapat kita simpulkan bahawa sifat isteri yang solehah adalah sebagai berikut:


1. Mentauhidkan Allah dengan mengabdikan diri hanya kepada-Nya tanpa menyekutukan-Nya dengan sesuatupun.


2. Tunduk kepada perintah Allah, terus menerus dalam ketaatan kepada-Nya dengan banyak melakukan ibadah seperti solat, puasa, bersedekah dan selainnya.


3. Menjauhi segala perkara yang dilarang dan menjauhi sifat-sifat yang rendah yang boleh menghakis sifat-sifat mulia.


4. Selalu bertaubat kepada Allah hingga lisannya sentiasa dipenuhi istighfar dan zikir kepada-Nya. Sebaliknya ia jauh dari perkataan yang sia-sia, tidak bermanfaat dan membawa dosa seperti dusta dan lainnya.


5. Menaati suami dalam perkara kebaikan bukan dalam bermaksiat kepada Allah dan melaksanakan hak-hak suami sebaik-baiknya.


6. Menjaga dirinya ketika suami tidak berada di sisinya. Ia menjaga kehormatannya dari tangan yang hendak menyentuh, dari mata yang hendak melihat, atau dari telinga yang hendak mendengar.


Demikian juga menjaga anak-anak, rumah, dan harta suaminya.


Sifat isteri solehah lainnya boleh diperincikan berikut:


1. Penuh kasih sayang, selalu kembali kepada suaminya dan mencari maafnya. Rasulullah SAW bersabda: "Mahukah aku beritahukan kepada kalian, isteri-isteri kamu yang menjadi penghuni syurga ialah isteri yang penuh kasih sayang, banyak anak, selalu kembali kepada suaminya. Di mana jika suaminya marah, dia mendatangi suaminya dan meletakkan tangannya pada tangan suaminya seraya berkata: "Aku tak dapat tidur sebelum engkau reda". (riwayat al-Nasai dalam Isyratun Nisa no. 257.)


2. Melayani suaminya (berkhidmat kepada suami) seperti menyiapkan makan minumnya, tempat tidur, pakaian dan seumpamanya.


3. Menjaga rahsia-rahsia suami, lebih-lebih yang berkenaan dengan hubungan intim antara dia dan suaminya.


Asma' bintu Yazid r.ha menceritakan dia pernah berada di sisi Rasulullah. Ketika itu kaum lelaki dan wanita sedang duduk. Baginda bertanya: "Barangkali antara kalian ada suami yang menceritakan apa yang diperbuatnya dengan isterinya (hubungan suami isteri), dan barangkali ada isteri yang memberitahu apa yang diperbuatnya bersama suaminya?" Maka mereka semua diam tidak ada yang menjawab. Aku (Asma) pun menjawab: "Demi Allah! Wahai Rasulullah, sesungguhnya mereka (para isteri) benar-benar melakukannya, demikian pula mereka (para suami)".


Baginda bersabda bermaksud: "Jangan lagi kalian lakukan, kerana yang demikian itu seperti syaitan jantan yang bertemu dengan syaitan betina di jalan, kemudian digaulinya sementara manusia menontonnya". (riwayat Ahmad 6/456)


4. Selalu berpenampilan yang bagus dan menarik di hadapan suaminya sehingga bila suaminya memandang akan menyenangkannya.


5. Ketika suaminya sedang berada di rumah, ia tidak menyibukkan dirinya dengan melakukan ibadah sunnah yang dapat menghalangi suaminya untuk istimta' (bernikmat-nikmat) dengannya seperti puasa, terkecuali bila suaminya mengizinkan.


6. Pandai mensyukuri pemberian dan kebaikan suami, tidak melupakan kebaikannya.


7. Bersegera memenuhi ajakan suami memenuhi hasratnya, tidak menolaknya tanpa alasan yang syarie, dan tidak menjauhi tempat tidur suaminya, kerana ia tahu dan takut terhadap berita Rasulullah SAW yang bermaksud: Demi zat yang jiwaku berada di tangan-Nya, tidaklah seorang suami memanggil isterinya ke tempat tidurnya lalu si isteri menolak ajakan suaminya (enggan) melainkan Allah SWT murka terhadapnya hingga si suami reda padanya. (riwayat Muslim no. 1436)

Tuesday, March 1, 2011

kisah CINTA kopi MASIN

Dia baru sahaja tamat belajar dan kini telah bergelar seorang doktor.  Masih bujang dan tercari-cari seorang isteri sebagai teman hidup.

Pada  suatu hari, ketika sedang minum di sebuah kedai kopi berdekatan dengan  sebuah sekolah tahfiz di Lembah Beringin bersama seorang rakannya yang  hafaz Quran, dia terpandang seorang gadis yang sungguh cantik.

Dengan  wajahnya yang tenang dan penampilan solehah, gadis itu sungguh menawan.

Si doktor dan si gadis bertentangan mata, tetapi dengan segera kedua-duanya mengalihkan pandangan mereka.

"Astaghfirullah," bisik doktor itu perlahan. Dia sedar itu panahan  syaitan. Si gadis sedang minum-minum bersama dua orang rakannya.

Subhanallah, indah sungguh ciptaan Allah ini! Secara tiba-tiba si doktor  menjadi gugup, berdebar-debar dan serba tidak kena. Ingin sahaja dia  menyunting gadis ini sebagai isterinya.

Doktor tersebut berbisik kepada rakannya yang hafaz Quran itu, "Kau kenal ke gadis itu?"

"Kenal. Dia sungguh berbudi bahasa. Dan masih belum berpunya lagi," jawab  rakannya sambil tersenyum memahami. Aduh, bertambah guguplah doktor  muda ini!

Tiba-tiba, datang pelayan meminta order, dan dia secara spontan berkata,

"Berikan saya kopi masin!"

Semua orang memandang dan melihat aneh kepadanya, termasuklah rakannya,  pelayan dan gadis tersebut. Mukanya mendadak menjadi merah, tetapi dia  tetap tidak mengubah pesanannya, dan setelah kopinya sampai, dia terus  meminumnya.

Kehairanan, rakannya bertanya "Mengapa kopimu mesti masin, sahabatku?"

"Saat aku masih kecil, aku tinggal di tepi laut. Aku sangat suka  bermain-main di laut, di situlah tempatnya aku dapat rasakan air  laut... masin dan pahit. Sama seperti rasa kopi ini," jawab lelaki ini.

Tanpa disedari, gadis cantik yang duduk di meja bersebelahan mereka mendengar  kata-kata si doktor tersebut. Gadis ini terharu. Itu adalah hal yang  sungguh menyentuh hati. Perasaan yang begitu dalam dari seorang lelaki  yang mengungkap kerinduan akan kampung halamannya.

Dia pasti lelaki itu adalah seorang  yang menyintai dan mengambil berat akan rumah dan keluarganya.  Dia pasti mempunyai rasa tanggungjawab akan tempat tinggal dan orang  tuanya. Jika dia seorang abang, pastinya dia seorang yang sangat  menyayangi adik-adiknya. Bertuahlah siapa yang menjadi isterinya.

Setelah peristiwa tersebur, si doktor ini meminta rakannya merisik gadis  tersebut. Pucuk dicita, ulam mendatang. Setelah mengetahui rombongan  merisik adalah mewakili lelaki yang ditemuinya di kedai kopi tempohari,  si gadis yang pada ketika itu hampir tamat pengajian di sekolah tahfiz,  menerima si doktor ini sebagai teman hidupnya dengan hati terbuka.

Seperti kisah cinta yang indah, Allah mengurniakan ketenangan di dalam  rumah tangga mereka. Mereka hidup bahagia, saling menyanyangi antara  satu sama lain, walaupun tidak mengenali antara satu sama lain sebelum  ini. Cinta yang berputik setelah perkahwinan, terus kembang mekar  seiring dengan ketaatan mereka kepada Yang Maha Pencipta. Dan setiap  kali si isteri membuatkan secawan kopi buat suaminya, dia tidak lupa  membubuh sedikit garam di dalamnya, kerana dia tahu, itulah kesukaan  suaminya.

Setelah 40 tahun hidup bersama, si suami meninggal dunia. Dia meningalkan sepucuk surat buat isterinya.

"Sayangku, sepanjang tempoh kehidupan kita bersama, abang  telah sentiasa jujur terhadapmu, tetapi maafkan abang untuk satu  perkara. Maafkan kebohongan yang telah abang buat sepanjang hidup abang.  Inilah satu-satunya kebohongan abang kepadamu - tentang kopi masin.  Kamu ingatkah di saat kita pertama kali bertemu? Pada ketika abang  sedang minum kopi dengan Ustaz Syakir, di maahad? Abang sangat gugup  pada ketika itu. Sebenarnya abang inginkan kopi manis. Tetapi abang  telah tersebut kopi masin. Waktu itu abang ingin batalkannya, tetapi  abang terlalu gugup di hadapanmu ketika itu, maka abang biarkan sahaja.  Abang tidak pernah menyangka itu akan menjadi awal perkenalan kita.  Abang telah mencuba untuk mengatakan hal yang sebenarnya kepadamu..abang  telah mencuba beberapa kali sepanjang hidup abang...tetapi abang tak  sanggup melukakan hatimu..


Sekarang saat kamu membaca surat  ini, abang sudah tiada. Tidak ada lagi yang perlu abang bimbangkan,  maka abang akan menyatakan ini kepadamu: Abang tidak menyukai kopi  masin. Tapi sejak mengenalimu, abang selalu minum kopi masin yang kamu  buatkan sepanjang hidup abang. Dapat berada di sampingmu adalah  kebahagiaan terbesar dalam hidup abang. Jika abang punya kesempatan  untuk menjalani kehidupan sekali lagi, abang akan tetap berusaha  mengenalimu dan menjadikanmu sebagai isteri abang walaupun abang harus  minum kopi masin sekali lagi."
Sambil membaca, air matanya membasahi surat itu.

Suatu hari, seseorang telah bertanya kepadanya, "Bagaimana rasa kopi yang masin?"

Dia dengan pastinya menjawab, "Rasanya manis sekali."

Begitulah kisah bahtera cinta yang antara dua insan, dalam pelayaran menuju cinta Tuhan.